Mecnote : Tips Penjagaan Laptop: Bagaimana Menjaga Laptop Agar Bertahan Lama Sehingga 5 Tahun

Cari Model Mac

Thursday, 21 December 2017

Tips Penjagaan Laptop: Bagaimana Menjaga Laptop Agar Bertahan Lama Sehingga 5 Tahun

tips penjagaan laptop
Susah?
Tidak susah pun.
Tapi ramai yang tidak mahu mengambil berat akan hal ini. Saya faham, kalau baru dibeli biasanya laptop dijaga dengan baik.
Bagaimana kalau usia laptop telah mencecah 2-3 tahun ke atas?
Tapi kenapa kita perlu menjaga laptop kita?
Sebab utamanya, menjaga laptop bukannya sukar seperti mana yang anda fikirkan. Sebab kedua, kos hendak membaiki laptop ini boleh menyebabkan dompet anda menjadi nipis dalam sekelip mata.
Kos alat ganti laptop agak mahal sedangkan jika kita menjaga dengan rapi kita dapat menjimatkan beratus-ratus ringgit dalam setahun.
Tidak percaya?
Cuba anda bertanya di mana-mana kedai komputer, berapa harga membaik pulih papan induk atau motherboard laptop jikalau rosak.
Saya yakin harga membaiki papan induk boleh mencecah sekitar RM350-RM450. Harga tersebut bergantung kepada jenama dan model laptop anda juga.
Mahal kan…
Dengan kos sara hidup semakin meningkat, duit sebanyak itu boleh digunakan untuk tujuan yang lebih penting.
Saya tidak akan membazir masa anda lama-lama, jadi mari kita baca tips di bawah ini berdasarkan pengalaman saya sendiri (dan orang lain) untuk rujukan anda.

7 tips penjagaan laptop

1. Kebersihan laptop

  1. Guna dan simpan laptop anda di kawasan yang mempunyai pengudaraan yang baik. Contohnya, jika anda berada di dalam bilik pastikan pintu dan tingkap dibuka untuk memudahkan peredaran udara yang segar.
  2. Pastikan bilik atau ruang kerja anda bersih daripada debu. Jika boleh, bersihkan bilik atau ruang kerja anda dua kali sehari.
  3. Gunakan laptop di tempat yang rata dan stabil seperti meja. Ini untuk mengelakkan laptop anda terjatuh sekiranya anda meletakkan di tempat-tempat yang tidak sepatutnya seperti di atas paha anda.
  4. Elakkan penggunaan laptop di atas tilam, bantal, sofa dan karpet. Alasannya, ia akan menutup ruang pengaliran udara laptop anda. Jika tertutup, laptop anda akan menjadi terlalu panas akibat daripada haba yang terperangkap di dalamnya.
  5. Jangan biarkan binatang peliharaan seperti kucing datang berdekatan dengan laptop anda. Bulu-bulu kucing ini mudah disedut oleh kipas laptop anda dan lama-kelamaan ia akan menutup ruang pengaliran udara laptop anda.
  6. Jauhkan makanan dan minuman. Sisa-sisa makanan dan minuman ini akan menarik perhatian serangga untuk masuk ke dalam laptop anda. Kalau ikut pengalaman saya, serangga seperti semut kerap kali masuk ke dalam laptop untuk membuat sarang.
  7. Pastikan tangan bersih. Ya, pastikan tangan anda bersih selepas anda makan. Tangan yang kotor dan berminyak bakal mengundang serangga.
  8. Jauhkan laptop daripada tempat-tempat yang lembab seperti di dapur dan kamar mandi. Ini untuk mengelakkan air tertumpah di atas laptop.
cat with laptop

2. Monitor LCD

  1. Elakkan kerosakan pada monitor seperti menyentuh atau menekan dengan kuat pada permukaan skrin.
  2. Sebelum menutup skrin laptop pastikan tiada benda-benda seperti pemacu kilat USB, duit syiling, kunci, USB Broadband Dongle, cincin dan sebagainya berada di atas papan kekunci. Skrin monitor boleh tercalar dan pecah sekiranya benda-benda tersebut tidak dialihkan.
  3. Tutup skrin LCD menggunakan kedua-dua tangan anda pada bahagian kiri dan kanan skrin laptop anda. Alasannya kerana untuk menjaga engsel (hinge) laptop anda agar tahan lama. Biasanya jika anda hanya menggunakan satu tangan, bebanan yang ditanggung oleh hinge laptop anda tidak sekata.
  4. Sekiranya anda hendak memindahkan laptop ke meja sebelah, pegang laptop di bahagian bawah atau tapak laptop anda. Jangan sesekali mengangkat laptop anda pada bahagian skrin. Ini boleh mengakibatkan engsel laptop anda tidak bertahan lama akibat bebanan yang ditanggung.
  5. Bersihkan skrin dengan pembersih yang dikhaskan untuk skrin sahaja.  Jangan gunakan bahan pencuci yang menghakis.
  6. Jangan letak benda-benda berat di atas laptop seperti buku, majalah, kotak, kasut dan sebagainya. Ia boleh mengakibatkan skrin laptop anda rosak dan pecah.
monitor lcd

3. Papan Kekunci

  1. Bersihkan papan kekunci secara berkala daripada debu. Gunakan berus yang bersih untuk membersihkan papan kekunci laptop anda.
  2. Gunakan pelindung papan kekunci untuk perlindungan daripada habuk.
  3. Sekiranya anda seorang pemain tegar permainan (games), sebaik-baiknya gunakan papan kekunci USB (USB keyboard) untuk menjaga ketahanan papan kekunci laptop anda.
  4. Musuh utama papan kekunci adalah air. Jangan biarkan air menitis atau tertumpah ke atas papan kekunci laptop anda.
panduan membeli laptop baru

4. Bateri

  1. Gunakan penyesuai AC (AC Adapter) yang didatangkan bersama-sama dengan laptop anda. Elakkan menggunakan penyesuai AC daripada jenama dan model laptop yang lain.
  2. Simpan bateri anda di tempat yang sejuk dan kering. Suhu yang disyorkan adalah dari 10°C (50°F) ke 30°C (86°F). Suhu yang lebih tinggi akan menyebabkan bateri kehilangan cas dengan lebih pantas.
  3. Dalam penggunaan biasa, jika laptop tidak terlalu panas (di mana suhu CPU dan cakera keras sekitar 40°C ke 50°C) bateri laptop tidak perlu ditanggalkan.
  4. Sekiranya anda menggunakan laptop untuk melakukan kerja-kerja berat yang melibatkan grafik dan permainan (suhu melebihi 60°C) bateri perlu dikeluarkan daripada soket laptop untuk mengelakkan pemanasan yang tidak diingini. Suhu yang tinggi memendekkan jangka hayat bateri laptop anda.
  5. Untuk laptop yang mempunyai bateri yang tidak boleh ditanggalkan (non-removable battery) anda digalakkan menggunakan cooling pads / cooling stands sekiranya anda menggunakan laptop untuk melakukan kerja-kerja grafik dan bermain permainan (games).
  6. Jika anda tidak menggunakan laptop anda untuk satu jangka masa yang panjang pastikan cas di dalam bateri laptop ditinggalkan sekurang-kurangnya 50%.
  7. Jangan biarkan cas bateri laptop anda kosong sekiranya anda hendak menyimpan bateri tersebut untuk satu tempoh yang lama. Ini adalah benar dengan bateri laptop yang berasaskan lithium-ion.
panduan membeli laptop baru

5. Perisian

  1. Gunakan antivirus. Setiap laptop mesti dipasang dengan perisian antivirus sama ada yang percuma atau berbayar. Ia melindungi laptop anda daripada serangan virus dan perisian yang berniat jahat (malware).
  2. Salin fail-fail penting secara berkala ke cakera keras mudah alih (portable hard disk). Jangan terlalu mengharapkan cakera keras laptop anda untuk menyimpan data-data penting. Amalkan untuk menyimpan dua salinan data penting anda.
  3. Jangan memuat turun perisian yang tidak diperlukan. Hanya muat turun perisian yang benar-benar anda gunakan sepenuhnya. Sila imbas perisian dengan menggunakan antivirus sebelum anda memasang perisian yang anda muat turun tadi ke dalam laptop anda.
  4. Pastikan sistem operasi Windows dan perisian-perisian asas anda sentiasa dikemas kini.
  5. Sila imbas perisian yang dimuat turun daripada Internet sebelum anda memasang perisian tersebut ke dalam laptop anda.
antivirus terbaik

6. Servis

  1. Servis kipas laptop anda 2 kali setahun. Untuk anda yang mahir menyelenggara laptop sendiri pastikan anda membersihkan kipas laptop anda sekurang-kurangnya 2 kali setahun. Pastikan juga anda menukar thermal grease dan thermal pad pada heat sink fan laptop anda.
  2. Format atau clean install sistem operasi laptop anda 2 atau 3 tahun sekali. Ini untuk membuang semula perisian-perisian lama yang tidak diperlukan. Prestasi laptop anda juga akan kembali pantas seperti baru dibeli.

7. Tips semasa perjalanan

  1. Sekiranya anda menaiki kapal terbang, bawalah laptop ke tempat duduk anda. Elakkan menyimpan bersama bagasi anda yang lain.
  2. Semasa pemeriksaan di lapangan terbang, elakkan laptop anda diimbas dengan menggunakan “human metal detector”. Pastikan laptop anda diimbas dengan menggunakan alat pengimbas bagasi.
  3. Sila buat salinan data anda ke cakera keras mudah alih (portable hard disk) dan tinggalkan data tersebut di tempat yang selamat (seperti di rumah atau pejabat) untuk mengelakkan kejadian seperti kehilangan atau kecurian laptop.
  4. Jika boleh jangan menyambung laptop anda kepada rangkaian Wi-Fi di lapangan terbang terutamanya untuk mengakses maklumat sensitif di Internet (seperti akaun bank).
kebersihan laptop

Saya yakin kalau anda menjaga laptop anda dengan penuh kasih sayang, laptop anda mampu berkhidmat sehingga 5 tahun.
Buktinya?
Saya ada sebuah laptop (atau lebih tepat netbook) yang masih berfungsi dengan baik walaupun telah berusia hampir 5 tahun.
Rahsianya?
Ikuti saja tips-tips mudah di atas…


Semoga tips ini dapat membantu anda. Jangan lupa share ya.


Anda ada masalah dengan MacBook/Laptop/Iphone?
  • Slow
  • Rosak
  • Serangan Virus

Jangan risau!! Kami boleh bantu menyelesaikan masalah anda.. 

Tak tahu dimana lokasi MACNOTE STUDIO UIA Gombak?

Anda boleh hubungi kami melalui:
          ·         WhatsApp Abang M
          ·         Facebook Macnote studio
          ·         Hotline 03-4010 3014

                    

                         

Anda boleh datang terus ke MACNOTE di UIA Gombak:

1. KAMI DI GOMBAK ( DALAM UIA GOMBAK)

- 15 MINIT DARI KEPONG DAN SELAYANG
- 25 MINIT DARI BANGSAR DAN AMPANG 
- 30 MINIT DARI SETAPAK DAN SENTUL
-40 MINIT DARI PUCHONG DAMANSARA DAN CHERAS


No comments:

Post a Comment